Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Sukan Judo jepun dibelenggu penderaan, tekanan

    FUKUROI, JEPUN – Jepun ialah tempat kelahiran judo namun mentaliti menang dengan apa cara sekalipun, hukuman dera dan tekanan untuk mengurangkan berat badan telah pun mendorong ramai kanak-kanak berhenti dan meninggalkan sukan tersebut, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan sukan tradisional itu.

    Menekankan keseriusan masalah yang dihadapi, Persekutuan Judo Seluruh Jepun telah membatalkan kejohanan seluruh negara untuk kanak-kanak berusia 10 tahun, memberi amaran mereka telah diberi terlalu banyak tekanan.

    Kumpulan pendesak yang komited menjaga mereka yang cedera atau terbunuh ketika melatih seni mempertahankan diri itu berkata 121 kematian berkaitan judo telah dilaporkan di sekolah Jepun di antara tahun 1983 dan 2016.

    Jepun sering mendominasi senarai pungutan pingat judo Olimpik tetapi presiden persekutuan Yasuhiro Yamashita memberitahu AFP nilai-nilai sukan berkenaan bakal lenyap ketika ibu bapa dan jurulatih mengejar kegemilangan jangka pendek.

    “Judo adalah sukan yang menekankan kemanusiaan,” kata Yamashita, yang juga presiden Jawatankuasa Olimpik Jepun dan memenangi pingat emas pada Sukan Los Angeles 1984.

    Presiden Persekutuan Judo Seluruh Jepun Yasuhiro Yamashita semasa temu bual dengan AFP di Tokyo. – AFP
    Kanak-kanak menjalani senaman memanaskan badan semasa sesi latihan judo di Fukuroi, wilayah Shizuoka. – AFP
    Kanak-kanak mengambil bahagian dalam sesi latihan judo di Fukuroi, Shizuoka, Jepun. – AFP
    Seorang kanak-kanak bermain dengan pengajar judo semasa sesi latihan di Fukuroi, wilayah Shizuoka. – AFP

    “Sekiranya awda tidak melihat sebarang nilai dalam segala usaha yang dicurahkan kecuali menang, dan hasil keputusan hanya diberi keuta-maan, ia akan memberikan gambaran yang salah atau mengelirukan.”

    Jumlah orang yang mengambil bahagian dalam judo di Jepun telah merosot hampir separuh sejak 2004 kepada kira-kira 120,000, menurut angka persekutuan.

    Kanak-kanak menyumbang kepada jumlah kemerosotan paling ramai.

    Laporan telah timbul mengenai kanak-kanak sekolah rendah yang dipaksa menurunkan berat badan – kadangkala sehingga enam kilogram – supaya mereka boleh bertanding dalam divisyen lebih ringan.

    Kanak-kanak diajar pergerakan atau taktik berbahaya yang sama dengan atlet Olimpik dan rutin latihan yang giat boleh mengakibatkan mereka cedera atau pun kelesuan dan tidak bermaya.

    Ibu bapa dan jurulatih juga sering dilihat menghamun pengadil semasa perlawanan berlangsung dan hukuman dera masih wujud, meskipun pembaharuan dilakukan dalam sukan yang telah dibelenggu penderaan dan skandal buli bertahun-tahun lamanya.

    Persekutuan Judo Seluruh Jepun memutuskan untuk mengambil tindakan pada Mac dengan membatalkan satu kejohanan kebangsaan untuk kanak-kanak elit berumur di antara 10 dan 12 tahun, merancang menggantinya dengan acara seperti syarahan dan sesi latihan.

    Reaksi yang diterima adalah tegang dengan ibu bapa dan jurulatih yang marah menuduh persekutuan menghancurkan impian kanak-kanak dan menjejas status Jepun sebagai kuasa judo.

    Pelajar sekolah menengah Rion Fukuo, 13, juara serantau pada tahun lalu, memberitahu AFP di kelab judonya di tengah rantau Shizuoka bahawa dia ‘berasa kesal’ dengan kanak-kanak sekolah rendah tahun ini yang tidak mempunyai kejohanan untuk disasarkan.

    Kosuke Moroi, dengan anak perempuannya yang berusia 12 tahun menghadiri kelab yang sama, berkata dia ‘berasa hampa’ apabila dia mendengar berita itu tetapi bersetuju ia merupakan satu ‘keputusan yang baik’ setelah mengetahui sebab-sebabnya.

    Yamashita berkata pembatalan pertandingan telah menonjolkan ‘ma-salah yang membabitkan masyarakat Jepun.’

    “Sudah dua setengah bulan sejak kami memutuskan untuk membatalkan pertandingan dan orang ramai masih mendebatnya di kaca televisyen dan dalam akhbar,” katanya, menambah kebanyakan pendapat ‘adalah menyokong keputusan berkenaan.’

    Judo dan seni mempertahankan diri yang lain digunakan untuk latihan ketenteraan di Jepun sebelum Perang Dunia Kedua dan anggota tentera akan melawat sekolah-sekolah untuk memberikan kursus.

    Seni mempertahankan diri itu diharamkan semasa pendudukan Amerika Syarikat selepas perang tetapi ia diiktiraf semula sebagai sukan tidak lama kemudian, dengan judo dimasukkan dalam senarai Olimpik pada Sukan Tokyo 1964.

    Noriko Mizoguchi, seorang pakar judo Jepun yang memenangi pingat perak pada Olimpik Barcelona 1992, berkata kepercayaan bahawa hukuman dera menjadikan kanak-kanak lebih kuat masih berleluasa di Jepun.

    “Satu perkara yang masih berakar-umbi dalam latihan sukan Jepun adalah ia tidak menggunakan perkataan, ia menggunakan keganasan,” kata beliau.

    “Timbulnya kebergantungan, sama seperti keganasan rumah tangga, seolah-olah dipukul menandakan curahan kasih sayang.”

    Jurulatih yang menggunakan hukuman dera boleh dilucutkan lesen mereka tetapi ibu bapa adalah lebih sukar dikawal.

    Hisako Kurata, wakil Persatuan Mangsa Kemalangan Judo Jepun, berkata kebanyakan ibu bapa ‘tidak memikirkan mengenai risiko dan hanya mahu anak mereka menang pertandingan.”

    “Ibu bapa fikir sekiranya anak mereka memenangi kejuaraan, mereka akan berasa gembira, mereka memikirkan mereka melakukannya untuk anak mereka,” ujar Kurata, di mana anak lelakinya yang berusia 15 tahun meninggal dunia pada 2011 akibat kecederaan kepala yang dialami di kelab judo sekolah tingginya.

    “Ibu bapa berakhir memiliki mentaliti yang sama dengan kelab judo iaitu menang walaupun dengan apa cara sekalipun dan mereka menyumbang kepada akibatnya.”

    Mizoguchi, yang telah membim-bing atlet di Perancis, berkata judo ‘bukan sukan menyeronokkan’ untuk kanak-kanak Jepun dan ‘budaya macho’ yang menyelubungi sukan itu telah berakhir. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...