Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Tenaga solar beri sinar hidup baharu penduduk pedalaman

    Gambar AP

    LAINDEHA, INDONESIA — Ketika Tamar Ana Jawa menganyam kain sarung merah di bawah cahaya matahari yang semakin suram, jirannya menyalakan mentol yang tergantung di atas bumbung zink yang landai.

    Ia hanya satu mentol yang dikuasakan oleh panel solar kecil, tetapi sangat bermakna di kampung terpencil.

    Di beberapa tempat pedalaman, sistem solar luar grid memberikan penduduk kampung seperti Tamar Ana lebih banyak masa dalam sehari, lebih banyak wang dan lebih banyak perhimpunan sosial.

    Sebelum elektrik ada ke kampung itu kurang dua tahun lalu, hari mereka berakhir apabila matahari terbenam. Penduduk kampung Laindeha, di pulau Sumba, timur Indonesia, akan mengetepikan tikar yang mereka tenun atau kopi yang mereka susun untuk dijual di pasar apabila cahaya semakin suram.

    Beberapa keluarga yang mampu membelinya akan menghidupkan penjana bising yang berderam-derum pada waktu malam, sambil mengeluarkan kepulan asap.

    Tamar Ana ditemani cahaya lampu solar ketika dia menganyam kain tradisional di rumah jiran di kampung Laindeha, pada 22 Mac.
    Bara Kilimandang menunjukkan jagung yang dikisar menggunakan mesin pengisar yang dikuasakan oleh tenaga solar di rumahnya, baru-baru ini.
    Penduduk kampung menggunakan telefon bimbit mereka di luar rumah yang tenaga elektriknya berasal dari panel solar di kampung Ndapayami di Pulau Sumba, Indonesia pada 20 Mac.
    Antonius Makambombu, pekerja Sumba Sustainable Solutions melakukan kerja penyelenggaraan pada panel solar di atas bumbung kedai pelanggan di kampung Laindeha di Pulau Sumba, Indonesia pada 22 Mac.
    Bara Kilimandang berdiri di pintu rumahnya yang tenaga elektriknya berasal dari tenaga solar di Walatungga di Pulau Sumba, Indonesia, pada 21 Mac 2023.
    Sepasang suami isteri menyusun jagung di rumah mereka yang tenaga elektriknya berasal dari tenaga suria di kampung Ndapayami di Pulau Sumba, Indonesia, baru-baru ini.

    Sesetengah orang menyalakan lampu mentol menggunakan bateri kereta lama, yang akan terpadam dengan cepat atau terbakar, kerana ia tidak mempunyai alat pengatur. Kanak-kanak kadangkala belajar menggunakan lampu minyak sementara, tetapi ini kadangkala boleh membakar rumah apabila ditiup angin.

    Senario tersebut telah berubah sejak projek perusahaan sosial akar umbi telah membawa sistem panel solar individu yang kecil ke Laindeha dan kampung-kampung sepertinya di seluruh pulau.

    Bagi Tamar Ana, ia bermakna pendapatan tambahan yang amat diperlukan. Apabila suaminya meninggal dunia akibat strok pada Disember 2022, Tamar Ana tidak pasti bagaimana dia akan membiayai persekolahan anak-anaknya. Tetapi apabila seorang jiran mendapat lampu elektrik tidak lama kemudian, dia menyedari dia boleh meneruskan menganyam pakaian untuk pasar hingga lewat petang.

    “Dulu gelap pada waktu malam, sekarang terang sampai pagi,” kata ibu kepada dua anak berusia 30 tahun itu sambil berhati-hati menyusun dan menolak benang merah pada alat tenun. “Jadi malam ini saya bekerja … untuk anak-anak.”

    Kehidupan lebih bermakna

    Di seluruh dunia, ratusan juta orang tinggal dalam komuniti tanpa akses tetap kepada tenaga elektrik dan sistem solar luar grid seperti ini membawa akses terhad kepada elektrik ke tempat-tempat seperti ini sebelum grid tenaga elektrik sampai kepada mereka.

    Kira-kira 775 juta orang di seluruh dunia kekurangan akses kepada elektrik pada 2022, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa. Afrika Sub-Sahara dan Asia Selatan adalah pusat kepada beberapa populasi terbesar tanpa akses kepada elektrik. Tidak mempunyai bekalan elektrik di rumah menyebabkan orang ramai terus berada dalam kemiskinan, menurut PBB dan Bank Dunia dalam laporan 2021.

    Sukar bagi orang yang sangat miskin untuk mendapatkan elektrik, menurut laporan itu, dan sukar bagi orang yang tidak memilikinya untuk mengambil bahagian dalam ekonomi moden.

    Indonesia telah menyediakan tenaga elektrik untuk berjuta-juta orang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daripada 85 peratus kepada hampir 97 peratus liputan antara 2005 dan 2020, menurut data Bank Dunia. Tetapi masih terdapat lebih daripada setengah juta orang di Indonesia tinggal di tempat yang tidak dijangkau oleh grid tenaga elektrik.

    Walaupun masih terdapat rintangan yang perlu diatasi, pakar berkata program solar luar grid di pulau itu boleh direplikasi di seluruh negara kepulauan yang luas, membawa tenaga boleh diperbaharui kepada komuniti terpencil.

    “Solar luar grid di sana memainkan peranan penting kerana ia akan menyalurkan elektrik bersih terus kepada mereka yang tidak mendapat bekalan elektrik,” kata Daniel Kurniawan, penganalisis dasar solar di Institut Pembaharuan Perkhidmatan Penting.

    Kini, penduduk kampung sering berkumpul pada waktu petang untuk meneruskan kerja pada hari itu, berkumpul untuk menonton rancangan televisyen pada telefon bimbit yang dicas oleh panel dan membantu kanak-kanak membuat kerja rumah dalam cahaya yang cukup terang untuk membaca.

    “Saya tidak boleh belajar pada waktu malam sebelum ini,” kata Antonius Pekambani, seorang pelajar berusia 17 tahun di kampung Ndapaymi, Sumba timur. “Tetapi sekarang saya boleh.”

    Ada yang bantu

    Tenaga solar masih kurang digunakan di Indonesia. Walaupun negara itu telah menyasarkan lebih banyak solar sebagai sebahagian daripada matlamat iklimnya, terdapat kemajuan yang terhad disebabkan oleh peraturan yang tidak membenarkan isi rumah menjual kuasa kembali ke grid, sehingga tidak ada cara untuk membiayai kos yang telah membantu orang ramai membeli solar di bahagian lain dunia.

    Di situlah organisasi akar umbi seperti Sumba Sustainable Solutions, yang berpangkalan di Sumba timur sejak 2019, melihat potensi untuk membantu.

    Bekerjasama dengan penderma antarabangsa untuk membantu mengurangkan kos, organisasi berkenaan menyediakan sistem solar rumah yang diimport, yang boleh menyalakan lampu mentol dan mengecas telefon bimbit, dengan bayaran bulanan bersamaan AS$3.50 untuk tempoh tiga tahun.

    Organisasi itu juga menawarkan peralatan berkuasa solar seperti lampu dan mesin pengisar tanpa wayar. Menurutnya, ia telah mengagihkan lebih 3,020 sistem lampu solar dan 62 pengisar di seluruh pulau itu, menjangkau lebih 3,000 rumah.

    Imelda Pindi Mbitu, 46, ibu kepada lima anak yang tinggal di Walatungga berkata, dia pernah menghabiskan masa seharian menggiling biji jagung dan biji kopi di antara dua batu untuk dijual di pasaran tempatan. Kini, dia membawanya ke kilang berkuasa solar yang dikongsi oleh kampung itu.

    “Dengan penggilingan manual, jika saya mulakan pada waktu pagi saya hanya boleh selesai pada sebelah petang. Saya tidak boleh buat apa-apa lagi,” katanya sambil duduk di rumah kayunya. “Jika awda menggunakan mesin itu, ia lebih pantas. Jadi sekarang saya boleh melakukan perkara lain.”

    Suka dalam duka

    Projek serupa di tempat lain, termasuk Bangladesh dan Afrika sub-Sahara, telah membantu menyediakan tenaga elektrik untuk berjuta-juta orang, menurut Bank Dunia.
    Tetapi beberapa sistem solar luar grid yang lebih kecil seperti ini tidak memberikan jumlah kuasa yang sama seperti akses grid tenaga elektrik. Walaupun telefon bimbit, lampu mentol dan mesin pengisar dapat dicas, sistem tersebut tidak mampu menjana kuasa yang mencukupi untuk sistem pembesar suara atau gereja.

    Projek solar luar grid juga berdepan rintangan, kata Jetty Arlenda, seorang jurutera Sumba Sustainable Solutions.

    Projek organisasi itu sangat bergantung kepada penderma untuk mensubsidi kos peralatan solar, yang mana ramai penduduk luar bandar tidak mampu membayar pada harga kos pasaran. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...