Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Tingkat kewaspadaan penyakit HFMD

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kes peningkatan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) semakin hangat diperbualkan malah menjadi kekhuatiran di kalangan ibu bapa dan penjaga di negara ini lebih-lebih lagi bermulanya penggal persekolahan.

    Meskipun Negara Brunei Darussalam mencatatkan jumlah kes HFMD pada tahap yang rendah sejak 1 Januari sehingga 12 Mei lalu namun semua lapisan masyarakat digesa agar jangan leka dalam mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya untuk sentiasa memastikan nilai-nilai kebersihan secara menyeluruh dalam menjalankan kehidupan sehari-hari.

    Mengambil iktibar daripada peningkatan jumlah kes HFMD di negara-negara jiran sejak awal tahun ini seperti Malaysia menurut laporan rasmi pada 17 Mei lalu bahawa berlakunya peningkatan jumlah kes pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan.

    Apakah itu HFMD?

    HFMD merupakan salah satu jangkitan yang lazimnya berlaku di kalangan anak damit dan kanak-kanak, terutama sekali mereka yang berumur di bawah lima tahun. Di mana jangkitan tersebut disebabkan oleh beberapa jenis virus seperti kumpulan virus Entero yang tergolong di dalam keluarga virus picorna.

    Antara tanda dijangkiti HFMD ini termasuklah demam panas, kurang nafsu makan, merasa tidak sihat, ruam kulit dan biji-biji berair (blister) di bahagian tapak tangan, kaki dan bahagian punggung dan sakit tekak. Luka-luka dan ulser dalam mulut juga kerap dialami iaitu pada lidah, gusi dan bahagian dalam pipi. Anak-anak damit yang mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti di mana boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti penyakit radang otak (encephalitis) dan dehidrasi.

    Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk tidak menghantar anak-anak mereka yang dijangkiti HFMD ke sekolah bagi mencegah jangkitan kepada kanak-kanak lain. – Gambar oleh Muiz Matdani
    HFMD merupakan salah satu jangkitan yang lazimnya berlaku di kalangan anak damit dan kanak-kanak, terutama mereka yang berumur di bawah lima tahun.
    Mencuci tangan dengan cecair pembersih tangan atau sabun dan air bersih antara langkah yang dapat mencegah diri daripada jangkitan HFMD.
    Kerap membersihkan dan menyahkumankan (disinfect) permukaan yang tercemar termasuk alat permainan.

    Apa yang menjadi kekhuatiran pada ibu bapa dan penjaga adalah penyakit HFMD ini boleh merebak daripada seorang ke seorang melalui sentuhan secara langsung atau menyentuh permukaan yang dicemari virus berkenaan seperti melalui air liur ataupun daripada najis individu yang telah dijangkiti. Lebih buruk lagi, penyakit ini bukan hanya merebak pada tahap awal jangkitan malah juga boleh merebak selepas beberapa minggu di jangkiti.

    Lakukan rawatan dan pencegahan sewajarnya

    Hakikatnya tiada rawatan khusus bagi HFMD, namun jika anak awda dijangkiti maka pastikan banyak minum air untuk mencegah berlakunya dehidrasi, di samping makan ubat seperti paracetamol untuk mengurangkan panas badan dan sakit tekak yang dialami.

    Selain itu, rawatan HFMD ini juga memerlukan gel mulut untuk mengurangkan rasa pedih disebabkan ulser di mulut.

    Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan dalam siaran akhbarnya baru-baru ini, menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah berwaspada, pencegahan dan mengurangkan risiko jangkitan.

    Antara langkah tersebut ialah sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan cecair pembersih tangan atau sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum makan atau menyediakan makanan, selepas menukar lampin atau melakukan apa jua jenis pekerjaan rumah.

    Orang ramai juga perlu sentiasa menjaga kebersihan persekitaran sama ada di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak atau sekolah, tidak menghantar kanak-kanak yang dijangkiti HFMD ke sekolah bagi mencegah jangkitan kepada kanak-kanak lain.

    Mereka juga dinasihatkan untuk tidak dibawa ke tempat-tempat awam, seperti pasar raya, kompleks membeli-belah, taman permainan, kolam renang dan lain-lain. Selain itu, kerap membersihkan dan menyahkumankan (disinfect) permukaan yang tercemar termasuk alat permainan, jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, sudu dan garpu.

    Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan juga menasihatkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk membawa anak-anak mereka dengan segera ke pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital yang berhampiran jika terdapat tanda-tanda HFMD.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...