Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    ‘Tuna bukan untuk semua orang’

    VANGA, KENYA – “Ikan tuna bukan untuk semua orang,” keluh lelaki berusia 65 tahun, Chapoka Miongo, nelayan di pantai selatan Kenya, dari perahu ladingnya.

    Dia adalah salah seorang daripada kebanyakan nelayan berpengalaman di Shimoni, sebuah bandar tepi pantai yang terletak 82 kilometer dari selatan Mombasa, bertaburan dengan perahu lading, kanu dan sampan bertambat di tapak pendaratan pantai. Puluhan penjual ikan, pemproses dan peniaga berkumpul di pinggir pantai menunggu kepulangan nelayan dari laut dengan hasil tangkapan mereka.

    “Kanu saya hanya sesuai untuk kawasan pesisir dan hanya nelayan dengan bot besar dan wang yang boleh mendapatkan akses kepada ikan tuna,” ujarnya.

    Miongo menjelaskan pemanasan perairan disebabkan perubahan iklim memaksa spesies tuna mengubah pola penghijrahan, menjadikannya lebih sukar untuk nelayan tempatan menangkap ikan tersebut. Stok ikan juga telah berkurangan disebabkan kekurangan penangkapan ikan yang mapan oleh kapal yang lebih besar.

    Selat Shimoni, sebelum ini lubuk atau tempat tumpuan terkenal untuk tuna, mendapat faedah daripada monsun utara dan tenggara yang boleh membawa kepada hasil tangkapan yang besar, menurut rekod catatan yang disimpan oleh Perkhidmatan Perikanan Kenya.

    Nelayan bertolak dari pelabuhan Shimoni di daerah Kwale untuk menangkap ikan. – AP
    Nelayan Kassim Abdalla Zingizi memegang ikan tuna sirip kuning di Vanga, Kenya. – AP
    Nelayan meranduk keluar dari bot yang masuk di jeti, ada di antaranya bersama tangkapan mereka di kawasan Kwale, Teluk Gazi, Kenya. – AP

    Namun monsun masa sekarang adalah tidak baik bagi Miongo. Dia tidak dapat mengisi baldinya: hasil tangkapan untuk satu hari termasuk bermacam-macam jenis ikan bagang spesies berwarna-warni.

    Ikan tuna sirip kuning terutamanya, yang dijual dengan harga kompetitif di pasar, boleh dianggap ‘nasib baik’ untuk nelayan, jelas penangkap udang berusia 60 tahun, Mazera Mgala.

    Setelah pencarian yang sia-sia selama lima hari, tapak pendaratan ikan di Teluk Gazi, selat Shimoni dan pinggir laut Vanga untuk tuna sirip kuning, seekor tuna dengan berat enam setengah kilogram akhirnya ditangkap oleh nelayan kanu di selat Shimoni.

    Miongo dan Mgala adalah antara kira-kira 1,500 nelayan yang bergantung pada perairan laut yang kaya dengan sumber ikan di selat itu.

    Dalam pekerjaan menangkap ikan selama tiga dekad, Miongo berkata kapal asing besar, belia-belia telah memilih perikanan tradisional disebabkan kekurangan pekerjaan kolar putih dan peluang pendidikan yang lebih tinggi, serta perubahan iklim menjejas mata pencarian mereka.

    Nelayan Vanga Kassim Abdalla Zingizi menambah sebilangan besar nelayan tradisional kekurangan kemahiran, ilmu pengetahuan dan sokongan kewangan untuk bersaing dengan kapal asing yang lebih besar, kebanyakannya dari Eropah dan Asia, yang menggunakan teknologi penjejak satelit untuk menjejaki pelbagai jenis ikan tuna di seluruh Lautan Hindi.

    Kerajaan Kenya sedang melaksanakan strategi ekonomi yang akan membantu mengatasi kesan perubahan iklim ke atas mata pencarian bagi mereka yang tinggal di pantai dan merangsang kemahiran dalam kalangan nelayan serta mempromosi amalan penangkapan ikan yang lebih mapan, kata Dennis Oigara dari Perkhidmatan Perikanan Kenya.

    Subsidi untuk industri perikanan besar – yang telah lama bertanggungjawab atas amalan penangkapan yang bersifat membinasakan – telah dibangkitkan pada mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Sedunia selama lebih satu dekad tanpa sebarang penyelesaian. Pada awal tahun ini, Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi, yang bertanggungjawab terhadap peraturan tuna di rantau berkenaan, dikritik kerana tidak melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi beberapa spesies tuna daripada tangkapan berlebihan pada mesyuarat tahunannya.

    Selepas tangkapan untuk dua spesies tuna melebihi had di antara 2018 dan 2020, kumpulan pemuliharaan mengecam suruhanjaya tuna atas apa digelar mereka sebagai ‘kegagalan satu dekad’ yang mengakibatkan stok tuna ‘semakin terancam.’ Tabung Hidupan Liar Dunia untuk Alam Semula Jadi menggesa nelayan memulaukan tangkapan ikan tuna sirip kuning.

    Kerajaan Maldives, yang gagal menyarankan anggota suruhanjaya tuna mengurangkan hasil tangkapan mereka sebanyak 22 peratus dari tahun 2020, berkata keputusan mesyuarat ‘amat mengecewakan’.

    Christopher O’Brien, setiausaha eksekutif suruhanjaya, berkata jumlah kapal perikanan yang aktif di Lautan Hindi kian berkurangan sekarang.

    “Buat masa ini terdapat lebih 6,100 kapal berlesen untuk menangkap ikan spesies tuna Lautan Hindi. Pada 2000, hanya terdapat 3,300 kapal aktif,” jelasnya. Perahu ladang dan kabu milik Kiongo dan Abddala bukan tergolong dalam 6,100 kapal yang didaftar oleh suruhanjaya tuna, yang didominasi oleh armada industri perikanan.

    Suruhanjaya perikanan juga menca-pai persetujuan untuk menetapkan dua sesi khas pada masa depan untuk menyelesaikan sebarang isu berhubung stok ikan tuna sirip kuning, dengan mesyuarat pertama dijadualkan pada awal 2023.

    Namun suruhanjaya juga meluluskan resolusi penting untuk mengkaji kesan perubahan iklim ke atas stok ikan tuna di rantau itu, dialu-alukan sebagai salah satu kejayaan persidangan. Kajian bertujuan memahami hubungan kompleks di antara perubahan iklim, tangkapan tuna dan stok tuna dengan hasrat untuk melaksanakan penyesuaian masa depan dan langkah-langkah pengurangan tangkapan. Ia adalah pertubuhan pengurusan perikanan serantau kedua yang telah melaksanakan resolusi mengenai perubahan iklim.

    “Kami berharap pelaksanaan cadangan ini akan membimbing kami untuk mencapai matlamat jangka panjang kemapanan stok tuna dan spesies ikan tuna,” kata Adam Ziyad, pengarah kementerian perikanan, sumber marin dan pertanian Maldives

    Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim berkata perubahan iklim telah mendorong kepada stok hidupan laut yang berkurangan, perpindahan ikan dari rantau garis lintang lebih rendah ke rantau lebih tinggi, pemutihan batu karang dan peningkatan risiko konflik berhubung sumber yang berkurangan. Perubahan berkenaan telah pun dirasai oleh komuniti nelayan tempatan.

    “Pada masa dulu, saya akan menangkap ikan pada awal pagi dan tiga hingga empat jam kemudian, saya akan berehat kerana saya telah pun menangkap ikan yang cukup,” kata Mazera Mgalam yang mula menangkap ikan pada 1975 dan akan menyelam laut pada usia remaja di celah-celah batu karang beraneka warna dan ikan yang boleh ditemui dengan banyak.

    “Sekarang saya meluangkan masa yang lama di laut dan masih menangkap ikan yang jauh lebih kurang,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...