Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Tutongku ceria kembali warnai hujung minggu

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kemeriahan begitu terasa ketika setiap lapisan masyarakat tidak melepaskan peluang menghadirkan diri ke Tutongku Ceria untuk bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

    Kanak-kanak kelihatan riang asyik bermain belon manakala yang lain ada yang berjoging dan melakukan aktiviti riadah, yang membuatkan Pekan Tutong seakan-akan kembali ‘hidup’.

    Begitulah antara luahan daripada sepasang suami isteri yang berpeluang memanfaatkan hujung minggu mereka dengan melakukan aktiviti berbasikal di sekitar Pekan Tutong semasa ditemui penulis ketika berlangsungnya Tutongku Ceria pada awal September lalu.

    Dayang Nurmasyhurrah binti Haji Mohd Jalaluddin bersama suami, Awang Izwan Farhan bin DzulIsham, turut menambah acara sedemikian juga secara tidak langsung mampu membuka minda semua pihak akan betapa pentingnya meluangkan masa bersama ahli keluarga dan juga sahabat handai dalam kehidupan sehari-hari terutamanya dalam usaha ke arah amalan gaya hidup sihat.

    “Selaku masyarakat setempat di daerah ini, kita juga memiliki peranan yang besar untuk sama-sama menghargai kewujudan Pekan Tutong selama ini dengan menjaga persekitarannya sebaik-baiknya.

    Kemeriahan suasana Tutongku Ceria yang berlangsung di sekitar Pekan Tutong pada hujung minggu awal September lalu.
    Menerusi Tutongku Ceria, pelbagai aktiviti jualan dan perkhidmatan ditampilkan oleh para pengusaha dan peniaga yang bukan hanya terdiri daripada masyarakat setempat bahkan juga daerah-daerah lain.
    Awang Muhd Haziq Nasyran mengongsikan penglibatannya dalam pelbagai aktiviti yang diketengahkan di Tutongku Ceria telah memberi pengalaman yang begitu berharga.
    Dayang Nurmasyhurrah bersama suami, Awang Izwan Farhan, mengungkapkan acara Tutongku Ceria mampu membuka minda semua pihak akan betapa pentingnya meluangkan masa bersama ahli keluarga dan juga sahabat handai.
    Permainan Sahiba Rumi merupakan salah satu aktiviti kecergasan minda yang diketengahkan dalam Dudun DBP.

    “Apabila menyaksikan pemandangan Sungai Tutong yang masih berlatar belakangkan sumber kehijauan aslinya dari kawasan jeti Pekan Tutong, sudah pasti apa yang dirasai ialah ketenangan,” ujarnya yang menetap di Kampung Bukit Beruang.

    Suasana pekan lebih vibrant
    Dengan hasrat menghidupkan lagi suasana Pekan Tutong agar menjadi lebih vibrant yang bersesuaian bagi tempat riadah sekali gus meningkatkan sosioekonomi masyarakat di negara ini, Tutongku Ceria anjuran bersama Jabatan Bandaran Tutong, Jabatan Daerah Tutong dan Badan Kemajuan Kreatif Daerah Tutong dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan telah diadakan penuh warna dengan pelbagai aktiviti menarik.

    Terdahulu acara berkenaan telah dimulai dengan aktiviti senamrobik beramai-ramai dan diikuti dengan perlepasan peserta riadah berbasikal sejauh 8 kilometer, peserta Amazing Race dan berjalan santai bermula dan berakhir di kawasan jeti Pekan Tutong.

    Menerusi Tutongku Ceria, pelbagai aktiviti jualan dan perkhidmatan ditampilkan oleh para pengusaha dan peniaga yang bukan hanya terdiri daripada masyarakat setempat bahkan juga daerah-daerah lain antaranya jualan makanan dan minuman, produk 1K1P, pakaian, river cruise, pameran reptilia dan burung helang, dan sebagainya.

    Memperkasa Bahasa Melayu sambil beriadah
    Dalam pada itu, Tutongku Ceria turut dimeriahkan dengan Dudun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diken-dalikan oleh DBP melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa di kawasan lapang Kompleks Bunga Chempaka, Pekan Tutong.

    Semasa ditemui penulis, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab turut menaruh harapan besar agar Dudun DBP berkenaan dapat menyebarluaskan dan memastikan penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan benar kepada khalayak sasar dalam skala yang besar meliputi keempat-empat daerah demi meningkatkan kemahiran dan mengangkat Bahasa Melayu sebagai pengungkap ilmu, lebih-lebih ia sebagai bahasa rasmi negara.

    Dudun DBP telah memuatkan pelbagai aktiviti berkonsepkan kecergasan minda yang dibukakan secara percuma sama ada secara individu mahu pun berkumpulan antaranya Cambah Kata, Junjung Dialek, Cantum-cantum (teka-teki), Sahiba Rumi, Cerdik dan Ceria, Teka Perambahan Brunei, Ular dan Tangga, Lagu Kanak-kanak Tradisi Brunei dan Lakaran dalam Kegelapan.

    Timba pengalaman berharga
    Sementara itu, salah seorang belia yang bergerak aktif di Daerah Tutong, Awang Muhd Haziq Nasyran bin Haji Latif turut mengongsikan penglibatannya dalam pelbagai aktiviti yang diketengahkan pada Tutongku Ceria telah memberi pengalaman yang begitu berharga meliputi kesedaran mengenai perlunya keseimbangan hidup untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal, di samping menerokai curahan ilmu pengetahuan daripada pengusaha setempat yang mengetengahkan variasi produk sentuhan kraf tangan asli mereka seperti koleksi anyaman dan dastar.

    “Menyaksikan semangat para penjaja mencari rezeki di sekitar pekan ini sejujurnya ia mampu mewujudkan impak yang positif dalam jiwa generasi muda sendiri untuk memahami erti kehidupan berdikari yang sebenar lebih-lebih lagi dalam memanfaatkan masa terluang dengan sebaik-baiknya selagi masih dikurniakan rezeki kesihatan dan tenaga,” ucapnya yang berasal dari Kampung Penanjong semasa mengakhiri pertemuan bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...