Peralihan ke Fasa Endemik COVID dimanfaatkan sebaik mungkin oleh usahawan dan pelakon Wak Doyok untuk memberi perhatian kepada perniagaannya yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Disebabkan itu, Wak atau nama sebenarnya Mohd Azhar Azhar Md Nor, 42, terpaksa melupakan seketika minatnya terhadap dunia lakonan.
“Sejak dua tahun lalu, perniagaan terjejas akibat pandemik COVID dan saya akui memang memang mengalami waktu yang sukar. Sekarang ini adalah masa untuk saya bangunkan semula perniagaan.
“Ada terima tawaran berlakon dan ia membuatkan saya dalam dilema. Buat masa sekarang rasanya biarlah fokus dahulu kepada perniagaan dan jika ada masa lapang saya akan terima mana-mana tawaran,” katanya kepada wartawan.
Sementara itu, Wak menafikan dakwaan menjadi anak emas kepada Datuk Yusof Haslam selepas muncul dalam filem Abang Long Fadil 2 dan turut menerima tawaran lain dari produksi milik penerbit itu.
Bercakap tentang dunia lakonan juga, kata Wak dia lebih suka menerima tawaran cerita yang dekat dengan masyarakat.
“Jika ada yang anggap saya anak emas Datuk Yusof… terpulanglah. Itu semua adalah rezeki apabila ditawarkan berlakon dari produksi sama.
“Saya sebenarnya kurang suka menonton drama tentang dunia perniagaan dan korporat (atau selalu disebut drama Megah Holding) seperti yang banyak ditayangkan sekarang ini. Sebab itu kalau boleh saya mahu watak tentang kehidupan sebenar seperti seorang yang hidup susah.
“Saya juga lebih berminat untuk menjadi hos rancangan travel log kerana di situlah saya boleh berjumpa dengan ramai orang dan mendalami cara hidup mereka,” ujarnya.
Berkongsi tentang dunia perniagaan pula, Wak menzahirkan rasa syukur apabila sekarang ini orang ramai sudah boleh keluar untuk membeli-belah termasuk melakukan persiapan raya.
Selain sibuk dengan perniagaan koleksi baju Melayu bersama sebuah syarikat pakaian Muslim, Wak juga aktif melakukan kerja-kerja kebajikan sepanjang Ramadan ini. – Agensi