Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Semai tumbuhan pada tiub kaca

    Oleh Amri HTZ

    Kewujudan tumbuhan di sekeliling banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia tanpa mengira jenis tumbuhan.

    Ada di antaranya dijadikan sumber makanan, ubat-ubatan mahupun pendapatan terutamanya bagi mereka yang tahu bagaimana untuk memanfaatkannya.

    Pada kebiasaannya, tumbuhan yang mengeluarkan bunga dan mempunyai rupa yang unik sering kali dijadikan sebagai penghias sesebuah kawasan atau ruangan. Selain penghias, melihat keindahannya juga mampu memberikan ‘ketenangan’ kepada pemilik.

    Projek rekaan perlu persediaan

    Sebelum menanam tumbuhan pilihan, awda perlu menyediakan tempat khusus seperti kayu dan tiub kaca bagi menempatkannya.

    Oleh itu awda perlukan mesin gerudi tekan (drill press), tiub kaca berbentuk silinder, mesin pemotong kayu meja atau bandsaw, gam kayu, pita pengukur, pensel penanda, kepingan kayu untuk rekaan, tumbuhan pilihan, mesin router, pahat kayu, kertas pasir dan wood finish untuk merekanya.

    Proses pemotongan kayu menggunakan mesin bandsaw.
    Tebuk lubang menggunakan mata gerudi sesuai mengikut ukuran tiub kaca yang digunakan.
    Membulatkan sudut hujung kayu menggunakan mesin router dan roundover bit.
    Potongan kayu untuk bahagian struktur rekaan perlu diukur dan ditandakan sebelum menebuknya.
    Langkah mencantumkan keseluruhan bahagian menggunakan gam kayu.

    Rekaan mudah, senang

    Projek rekaan kali ini akan menampilkan dua bentuk rekaan di mana salah satunya mempunyai ruangan struktur tertutup manakala satu lagi berbentuk terbuka.

    Kedua-duanya akan menggunakan jenis kayu yang sama tetapi ini bukanlah satu kemestian dalam rekaan.

    Bagi mereka struktur rekaan tertutup untuk menempatkan tiub kaca sebagai tempat membiak tumbuhan, sekeping papan asal lebihan potongan kayu akan digunakan. Papan berketebalan 2 inci diperlukan bagi memastikan tiub kaca berukuran 1 inci boleh ditempatkan.

    Mula-mula lakar permukaan papan tersebut dengan ukuran 5 inci x 10 inci. Ketinggian struktur rekaan adalah tertakluk kepada panjang tiub kaca yang digunakan sementara lebarnya pula tergantung kepada berapa banyak tiub yang akan dimasukkan. Potong ukuran tersebut menggunakan mesin bandsaw atau menggunakan mesin pemotong kayu meja bagi mempercepatkan proses pemotongan.

    Setelah memotongkannya, salah satu sudut hujung bahagian atas akan direka ruangan berbentuk bulat untuk menempatkan tiub dengan kedalaman 4 1/2 inci. Gunakan mesin gerudi tekan bagi memastikan ruangan yang ditebuk tepat pada kedudukan dan berada dalam keadaan lurus.

    Kedudukan kayu akan dibahagi empat bagi menempatkan embat biji tiub kaca. Untuk itu awda perlu menandakan kawasan yang hendak ditebuk dengan kedudukan 1 ¼ inci, 3 ¾ inci, 6 ¼ inci dan 8 ¾ inci.

    Ketika proses menekankan mata gerudi pada permukaan kayu, pastikan awda tidak memaksanya dengan menekankan kuat bagi memastikan mata gerudi tidak terlalu panas sekali gus menjadikannya cepat tumpul.

    Selesai mereka ruangan tersebut, langkah seterusnya adalah memotongkan bahagian hujung struktur tersebut dengan bentuk 45 darjah bagi memberikan keunikan pada rekaan. Pastikan sudut hujung bahagian yang akan dipotongkan berada pada kedudukan betul (bahagian atas struktur) kerana jika awda menebuk bahagian bawah struktur yang berperanan sebagai penahan tiub, setentunya tiub kaca yang akan ditempatkan akan terjatuh.

    Tetapkan kedudukan bilah mesin pemotong pada kedudukan 45 darjah dan sorongkan kayu tersebut secara perlahan dengan memastikan awda menggunakan rip fence dan miter gauge sebagai penyokong ketika memotong dan menyorong material ke arah bilah mesin.

    Manakala bagi struktur rekaan berbentuk terbuka, ini memerlukan awda untuk membuat beberapa langkah pemotongan bagi bahagian-bahagian struktur rekaan tertentu. Rangka struktur rekaan yang terbuat daripada empat bahagian kayu akan dipotongkan juga menggunakan mesin pemotong kayu meja.

    Bagi memastikan ukuran keseluruhan struktur rekaan selaras dengan yang sebelumnya, ketebalan struktur rekaan perlulah sama iaitu 2 inci. Dengan itu ia memerlukan awda untuk memotongkan kayu yang tersedia dengan ukuran ½ inci x 10 inci x 2 inci untuk bahagian bawah (sekeping), ½ inci x 4 ¾ inci x 2 inci untuk bahagian sisi (dua keping) dan 2 ½ inci x 9 inci x 2 inci untuk bahagian atas (sekeping).

    Setelah memotongkan ukuran-ukuran diberikan, tumpukan perhatian terlebih dahulu pada kayu untuk bahagian atas rekaan. Sama seperti langkah sebelumnya, ia memerlukan awda untuk membahagi empat bahagian untuk ruangan tiub kaca ditempatkan juga menggunakan langkah sama untuk menebuknya menggunakan mata gerudi. Perbezaan pada kali ini ialah awda hanya melubangi sehingga tembus ruangan tersebut berbanding langkah sebelumnya yang mempunyai kedalaman tertentu. Setelah menebuknya, potongkan salah satu bahagian hujung (permukaan berlubang) dengan kedudukan 45 darjah.

    Manakala untuk kayu bahagian bawah, bahagian salah satu permukaan di mana tiub akan bersentuhan akan dilorek bagi memastikan tiub yang ditempatkan nanti kekal pada kedudukan (tidak mudah bergerak memandangkan bahagian bawah tiub yang membulat). Untuk itu ini memerlukan awda untuk melorek permukaan tersebut dengan kedalaman lebih kurang 2mm menggunakan mata gerudi. Setelah itu, kedua-dua bahagian hujung kayu akan direka dengan bentuk lap joint dengan lebar ½ inci dan kedalaman ¼ inci dengan memastikan ruangan yang telah dilorek sebelumnya menghadap ke atas.

    Sementara itu kayu untuk bahagian sisi struktur, salah satu bahagian hujungnya akan dipotongkan dengan bentuk 45 darjah. ini adalah bagi menyelaraskan bahagian kayu berlubang sebelumnya yang telah dibentuk dengan bentuk sedemikian.

    Dengan keseluruhan bahagian telah siap dipotongkan, awda hanya perlu mencantumkan keseluruhan mengikut kedudukannya menggunakan gam kayu.

    Bagi mengekalkan kedudukannya, awda boleh menggunakan paku berukuran kecil atau hanya menggunakan pengepit kayu secara sementara sehingga gam mengering. Dengan menyapukan keseluruhan permukaan kayu dengan wood finish pilihan sebagai langkah terakhir, rekaan awda bolehlah digantungkan pada ruangan yang telah dipilih untuk menghiasi dan ‘menghidupkan’ ruangan!

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...